Thursday, October 25, 2007

Di sebalik kajian…tersurat dan tersirat..

Melalui pengalaman semasa menjalankan kerja lapangan di Bandar Kota Tinggi, Johor dengan tajuk kajian Masa Depan Perniagaan Berskala Sederhana, saya dapati pelbagai persoalan tersirat yang sukar kita fahami yang dapat dilihat sendiri sekitar Kota Tinggi selepas bencana banjir melanda daerah tersebut. Antaranya,

i. Mengapakah Perniagaan berskala sederhana yang terdapat di Kota Tinggi didemonasi oleh hanya satu kaum iaitu kaum Cina?
ii. Mengapakah Perniagaan berskala sederhana seperti pasaraya, kedai elektrik, kedai perabot dan kedai kereta adalah dimiliki oleh kaum Cina.
iii. Di mana perniaga bumiputera lain terutama kaum Melayu?
iv. Adakah kaum bumiputera lain kurang pandai berniaga atau takut menghadapi risiko berniaga?

Inilah persoalan yang ingin saya bangkitkan. Saya bukan hendak memperkecilkan kebolehan dan kemampuan kaum bumiputera lain dalam kancap perniagaan tetapi ingin melihat perbezaan besar yang terdapat di antara perniaga kaum Cina dengan yang lain. Kita tetap berbangga kerana masih terdapat banyak perniagaan besar yang dimliliki oleh usahawan bumiputera termasuk Kumpulan Naza Sdn.Bhd, MK. Land, Mydin dan banyak lagi.

Dari pemerhatian dan tinjauan di sekitar Bandar Kota Tinggi saya dapati kebanyakan perniagaan berskala sederhana dimiliki oleh kaum Cina dan para responden yang kumpulan saya adalah 98 peratus terdiri daripada kaum Cina. Perkara inilah yang seharusnya kita bincang dan hurai bersama. Dari pembacaan di dalam rencana yang bertajuk Di sebalik jaringan buluh oleh Megat Mohd. Hisemudin di dalam Utusan Malaysia menyatakan “dalam perniagaan bangsa Cina membentuk gabungan yang mempunyai jenis perniagaan yang sama atau gabungan peniaga setempat. Dari sekecil-kecil perniagaan seperti persatuan peniaga kedai kopi, persatuan pemborong binaan sehinggalah kepada persatuan yang mengendalikan perniagaan berjuta-juta ringgit. Sesungguhnya ikatan dan kesepakatan dalam ‘Gong Hui’ inilah yang merapatkan serta menjadi benteng kekuatan kepada peniaga-peniaga kaum Cina dalam memperjuangkan kepentingan ahli-ahlinya” Jalinan ini juga telah teruji dapat membantu para usahawan Cina keluar daripada kemelut ekonomi tahun 1997 sedangkan ramai peniaga atau usahawan Melayu gulung tikar.

Dari kenyataan di atas jelas kepada kita kesepakatan dan keyakinan dalam menjalankan sesebuah perniagaan amat perlu dititik beratkan. Ini penting bagi mengembangkan perniagaan.

Sebagai kesimpulannya, tidaklah mudah bagi kita untuk meniru cara perniagaan yang diamalkan oleh orang Cina, namum kita tetap perlu yakin dan percaya bahawa terdapat model yang sesuai dan efektif bagi memajukan perniagaan bumiputera di samping mengamalkan nilai-nilai murni dalam berniaga. Oleh itu, semua pihak harus sedar dan bekerjasama dalam meningkatkan taraf golongan perniaga dan usahawan bumiputera di Malaysia.

No comments: