Thursday, October 25, 2007

Kata-kata akhir & penghargaan..

Saya Wan Muhamad Faisal Bin Wan Zahidi(A116985)ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada semua yang telah membantu menjayakan blog ini, terutama kepada Prof. Madya. Dr. Hamzah Bin Jusoh dan Pn.Marsitah Mohd Radzi selaku pensyarah kursus Urbanisasi dan Pembangunan Bandar yang banyak memberi nasihat dan panduan dalam membentuk sesebuah blog penyelidikan. Seterusnya,kepada rakan-rakan terutama ahli Kumpulan Urban@zone terdiri daripada Anas, Kak Azie dan Eda yang sentiasa bersama-sama saya selama menjalankan program penyelidikan dan saya ingin memohon maaf jika terdapat salah silap ketika menyiapkan hasil penyelidikan.Diharapkan blog ini dapat memberi sedikit sebanyak maklumat kepada semua..

Sekian,

Wassalam...

Di sebalik kajian…tersurat dan tersirat..

Melalui pengalaman semasa menjalankan kerja lapangan di Bandar Kota Tinggi, Johor dengan tajuk kajian Masa Depan Perniagaan Berskala Sederhana, saya dapati pelbagai persoalan tersirat yang sukar kita fahami yang dapat dilihat sendiri sekitar Kota Tinggi selepas bencana banjir melanda daerah tersebut. Antaranya,

i. Mengapakah Perniagaan berskala sederhana yang terdapat di Kota Tinggi didemonasi oleh hanya satu kaum iaitu kaum Cina?
ii. Mengapakah Perniagaan berskala sederhana seperti pasaraya, kedai elektrik, kedai perabot dan kedai kereta adalah dimiliki oleh kaum Cina.
iii. Di mana perniaga bumiputera lain terutama kaum Melayu?
iv. Adakah kaum bumiputera lain kurang pandai berniaga atau takut menghadapi risiko berniaga?

Inilah persoalan yang ingin saya bangkitkan. Saya bukan hendak memperkecilkan kebolehan dan kemampuan kaum bumiputera lain dalam kancap perniagaan tetapi ingin melihat perbezaan besar yang terdapat di antara perniaga kaum Cina dengan yang lain. Kita tetap berbangga kerana masih terdapat banyak perniagaan besar yang dimliliki oleh usahawan bumiputera termasuk Kumpulan Naza Sdn.Bhd, MK. Land, Mydin dan banyak lagi.

Dari pemerhatian dan tinjauan di sekitar Bandar Kota Tinggi saya dapati kebanyakan perniagaan berskala sederhana dimiliki oleh kaum Cina dan para responden yang kumpulan saya adalah 98 peratus terdiri daripada kaum Cina. Perkara inilah yang seharusnya kita bincang dan hurai bersama. Dari pembacaan di dalam rencana yang bertajuk Di sebalik jaringan buluh oleh Megat Mohd. Hisemudin di dalam Utusan Malaysia menyatakan “dalam perniagaan bangsa Cina membentuk gabungan yang mempunyai jenis perniagaan yang sama atau gabungan peniaga setempat. Dari sekecil-kecil perniagaan seperti persatuan peniaga kedai kopi, persatuan pemborong binaan sehinggalah kepada persatuan yang mengendalikan perniagaan berjuta-juta ringgit. Sesungguhnya ikatan dan kesepakatan dalam ‘Gong Hui’ inilah yang merapatkan serta menjadi benteng kekuatan kepada peniaga-peniaga kaum Cina dalam memperjuangkan kepentingan ahli-ahlinya” Jalinan ini juga telah teruji dapat membantu para usahawan Cina keluar daripada kemelut ekonomi tahun 1997 sedangkan ramai peniaga atau usahawan Melayu gulung tikar.

Dari kenyataan di atas jelas kepada kita kesepakatan dan keyakinan dalam menjalankan sesebuah perniagaan amat perlu dititik beratkan. Ini penting bagi mengembangkan perniagaan.

Sebagai kesimpulannya, tidaklah mudah bagi kita untuk meniru cara perniagaan yang diamalkan oleh orang Cina, namum kita tetap perlu yakin dan percaya bahawa terdapat model yang sesuai dan efektif bagi memajukan perniagaan bumiputera di samping mengamalkan nilai-nilai murni dalam berniaga. Oleh itu, semua pihak harus sedar dan bekerjasama dalam meningkatkan taraf golongan perniaga dan usahawan bumiputera di Malaysia.

Thursday, October 11, 2007

RUMUSAN OBJEKTIF KAJIAN PENYELIDIKAN

Kesimpulannya, kajian penyelidikan yang kami jalankan telah mencapai objektif yang telah disasarkan. Objektif-objektif yang ingin dicapai telah dinyatakan secara terperinci dalam bahagian penemuan kajian. Objektif yang kami sasarkan iaitu mengenalpasti dan menganalisis impak yang diterima oleh pemilik perniagaan selepas fenomena banjir dan memperoleh cadangan-cadangan yang sesuai bagi meminimakan kerugian yang dialami oleh peniaga berskala sederhana khususnya di Bandar Kota Tinggi.

Selain itu, dari segi cadangan-cadangan yang diberikan oleh pihak responden kami telah menganalisis, malah ia juga akan memberikan sedikit maklumat dan panduan untuk kami. Melalui cadangan yang diberikan oleh pihak responden kami dapati ia dapat mengurangkan impak yang terpaksa ditanggung oleh pihak yang terlibat Cadangan-cadangan ini juga amat berguna dalam pembangunan sesebuah bandar.

Akhir sekali, kami berharap kajian penyelidikan yang dilakukan ini dapat memberikan sedikit ilmu pengetahuan yang berguna kepada kami secara khususnya dan memberikan maklumat yang berfaedah kepada semua.

PENDAPAT DAN CADANGAN RESPONDEN

Pandangan dan persediaan responden dalam menghadapi bulan Disember dan Januari nanti.

Kaedah yang diguna pakai untuk pencapaian objektif ini adalah kaedah soal selidik. Hasil kajian penyelidikan yang dibuat melalui 30 set borang kaji selidik yang dibuat, kami mendapati hanya 20 responden yang menjawab soalan ini. Terdapat beberapa persediaan yang hampir sama diberikan oleh pihak responden iaitu premis perniagaan dalam persediaan menghadapi bulan Disember dan Januari nanti: Persediaan-persediaannya adalah seperti berikut:

1.Premis perniagaan barangan makanan dan pakaian, pihak pengurus membuat perancangan dan persediaan adalah dengan mengurangkan stok barangan tersebut bagi memudahkan proses mengangkat barang-barang.

2.Syarikat barangan elektrik dan perabot juga membuat persediaan dengan perancangan pengurangan stok kemasukan bekalan barang-barang bagi memastikan syarikat mereka tidak mengalami kerugian seperti tahun lalu.

3.Premis perniagaan seperti klinik-klinik dan kedai yang beroperasi 24jam juga membuat perancangan dan persediaan sekiranya berlaku kejadian banjir seperti tahun lalu , pihak mereka akan mengemaskini data-data dan cuba untuk berpindah ke premis yang lebih selamat.

4.Pengusaha-pengusaha kedai tekstil akan membuat persediaan dengan mengangkat kain-kain yang ada pada bahagian bawah akan dipindahkan pada tingkat atas untuk berjaga-jaga sekiranya kejadian banjir berlaku seperti tahun lalu.

5.Persediaan-persediaan lain yang turut dinyatakan oleh pihak responden jika berlaku kejadian banjir adalah seperti ingin menutup kedai dan ingin mencari tapak kedai baru, menyediakan pengankutan yang sesuai untuk menyelamatkan barangan perniagaan mereka serta akan peka terhadap keadaan cuaca pada bulan tersebut.

PENCAPAIAN OBJEKTIF

MENCADANGKAN LANGKAH-LANGKAH BAGI MENGURANGKAN BEBAN KERUGIAN YANG DITANGGUNG DIKALANGAN PENIAGA BERSKALA SEDERHANA.

Cadangan-cadangan yang telah diutarakan oleh pemilik peniaga berskala sederhana telah dibahagikan kepada beberapa perkara iaitu bantuan,berkenaan sungai dan longkang, pengangkutan, amaran awal, dana kewanagan, sumber air bersih, sisa banjir dan perhatian oleh pihak yang bertanggungjawab.

1.Bantuan
i-Tidak memilih kasih dalam memberikan bantuan terhadap mangsa
ii-Saluran bantuan kerajaan dengan lebih efisien dan sistematik
iii-Tindakan awal oleh pihak yang bertanggungjawab

2.Sungai / longkang
i-Pihak yang bertanggungjawab perlu pastikan aliran air sungai (SISTEM) berjalan dengan lancar.
ii-Memdalamkan Sungai Johor
iii-Membesarkan longkang di kawasan Bandar

3.Pengangkutan
i-Menyediakan pengankutan untuk memudahkan pemindahan barang-barang mangsa ke tempat yang lebih selamat.

4.Dana kewangan
i-Menyediakan dana modal untuk peniaga memulakan kembali perniagaan setelah banjir.
ii-Pihak kerajaan memberi bantuan untuk mengurangkan bantuan yang dihadapi.

5.Sumber air

i-Menyediakan sumber air yang bersih sebelum banjir untuk kegunaan ketika banjir.

6.Perhatian dari pihak tertentu
i-Pihak berkuasa perlu memberikan lebih perhatian terhadap mangsa banjir pada masa hadapan.
ii-Pihak kerajaan perlu pastikan infrastruktur perlu diselenggara terlebih awal sebelum kejadian banjir.

ANALISIS CADANGAN

Hasil daripada perbincangan kumpulan kami, kami telah menganalisis bentuk-bentuk cadangan yang telah diutarakan oleh pemilik perniagaan (mangsa banjir) semasa kami menjalankan soal selidik terhadap mereka.

Dari segi bentuk bantuan, dapat dianalisiskan bahawa pemilik perniagaan inginkan ketelusan dalam menyalurkan bantuan tanpa memilih kaum, tempat tinggal serta fahaman politik. Saluran bantuan yang diberikan juga perlulah sistematik dan efisien. Kumpulan kami berpendapat bahawa saluran bantuan yang diberikan perlulah terancang dan adil terhadap semua mangsa tanpa memilih kasih. Selain itu, pihak bertanggungjawab yang menyalurkan bantuan juga perlulah merancang dengan teliti proses semasa memberikan bantuan dengan mengenalpasti masalah yang menyebabkan kelewatan bantuan, mangsa yang tidak mendapat bantuan serta kelemahan-kelemahan lain. Contohnya kekurangan kakitangan dan pengankutan yang sesuai ketika banjir kerana perhubungan melalui jalanraya telah terputus.

Sistem saliran seperti sungai dan longkang juga telah menjadi subjek cadangan pemilik perniagaan (mangsa). Mereka mencadangkan supaya pihak yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan sistem saliran iaitu Jabatan Pengaliran Saliran(JPS) supaya menyelenggara sistem saliran tersebut sebelum tiba musim tengkujuh. Semasa kajian dijalankan pihak JPS sedang menjalankan kerja-kerja mendalamkan sungai. Kedalaman sungai secara tidak langsung akan menampung jumlah air yang banyak semasa musim tengkujuh dan telah membantu untuk mengurangkan risiko banjir.

Cadangan seterusmya yang diutarakan oleh pemilik perniagaan(mangsa) ialah pemberitahuan awal tentang kenaikan air yang boleh menyebabkan banjir. Pada pandangan kumpulan kami, pihak JPS iaitu yang menjaga pengairan dan saliran perlu lebih peka terhadap kenaikan air dan jika berlaku kenaikan air perlulah diberitahu kepada umum supaya persediaan awal sebelum banjir boleh dilakukan seperti menyelamatkan barang-barang, penyediaan makanan untuk mangsa banjir dan keperluan lain ketika banjir.

Bagi peniaga yang mengalami kerosakan barang-barang, stok perniagaan dan juga kelengkapan premis perniagaan, mereka mengharapkan dana modal daripada pihak kerajaan untuk kembali menjalankan perniagaan selepas banjir. Terdapat juga peniaga yang inginkan bantuan sekadar untuk mengurangkan beban kerugian mereka. Pada pandangan kumpulan kami, mereka tidak seharusnya memaksa kerajaan untuk memberikan mereka dana modal. Hal ini adalah kerana peruntukan kerajaan adalah amat terhad. Pemilik perniagaan seharusnya faham tentang cirri-ciri usahawan iaitu menanggung risiko pernigaan.

Seterusnya, melalui cadangan yang diperolehi daripada pihak responden, pelbagai cadangan yang perlu dititik berat bagi mengatasi masalah banjir di Kota Tinggi. Oleh itu, semua pihak termasuk kerajaan dan masyarakat sekitar perlu bekerjasama dalam mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah

ANALISIS PENEMUAN KAJIAN

PENGENALAN Kajian penyelidikan yang akan kami jalankan

berkaitan hartanah yang boleh dikaitkan dengan pembangunan sesuatu Bandar. Kajian penyelidikan kami telah dijalankan pada 1hb hingga 2hb September 2007 di Bandar Kota Tinggi, Johor. Kajian ini memfokuskan kepada impak dan masa depan premis perniagaan selepas fenomena banjir melanda pada penghujung bulan Disember 2006 hingga Januari 2007.

Sasaran kami ialah untuk menjalankan kajian penyelidikan terhadap syarikat dan premis perniagaan yang berskala sederhana. Responden yang diperlukan dalam menjalankan penyelidikan kami adalah terdiri daripada pemilik syarikat/premis perniagaan yang menjalankan kegiatan perniagaan di lokasi yang telah ditetapkan iaitu di kawasan Bandar Kota Tinggi. 30 responden ini mewakili pemilik premis perniagaan telah berjaya kami perolehi. Responden kami adalah terdiri dari pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dam India. Antara jenis perniagaan berskala sederhana yang merupakan responden kajian ini adalah seperti kedai perabot, elektrik, tekstil, klinik-klinik, kedai motosikal dan lain-lain.

Objektif penyelidikan kami ialah mengenalpasti dan menganalisis impak yang diterima oleh pemilik perniagaan selepas fenomena banjir serta memperoleh cadangan-cadangan yang sesuai bagi meminimakan kerugian yang dialami oleh peniaga berskala sederhana di Bandar Kota Tinggi khususnya. Hasil dari pemerhatian dan kajian kami melalui borang kaji selidik kepada responden di Bandar Kota Tinggi, kami telah mendengar pelbagai pengalaman dan reaksi daripada responden-responden yang berjaya kami perolehi.

Seterusnya, kajian penyelidikan ini dapat disimpulkan pada bahagian penemuan kajian. Pencapaian objektif yang dicapai dalam kajian ini akan diterangkan pada bahagian dapatan kajian.

PENCAPAIAN OBJEKTIF-OBJEKTIF

MENGENALPASTI DAN MENGANALISA IMPAK YANG DIHADAPI ATAU DITERIMA OLEH PEMILIK SYARIKAT/PREMIS PERNIAGAAN (BERSKALA SEDERHANA) SELEPAS FENOMENA BANJIR.

Melalui soal selidik yang dijalankan, sebanyak 30 borang kaji selidik telah diedarkan kepada pemilik syarikat atau premis perniagaan berskala sederhana iaitu merupakan responden utama dalam kajian penyelidikan ini. Kajian penyelidikan ini adalah bertujuan untuk mengenal pasti dan menganalisa impak yang dihadapi oleh pemilik perniagaan ketika dihadapi dan selepas kejadian banjir yang melanda di Kota Tinggi, Johor. Oleh yang demikian untuk mencapai objektif pertama kami telah mengklasifikasikan kepada dua keadaan iaitu ketika banjir dan selepas banjir yang melanda. Penilaian kepada objektif pertama ini di buat berdasarkan kepada dua keadaan dan menggunakan skala analisa yang telah ditetapkan. Penilaian ini dibuat berdasarkan kepada masalah yang timbul semasa kajian rintis yang dijalankan pada 2 September 2007 yang lalu. Antara masalah yang di kenalapasti ketika banjir melanda adalah seperti masalah kemusnahan barang-barang dan perkhidmatan, perniagaan lumpuh atau tergendala, masalah pembekalan barang-barang dan perkhidmatan sukar di perolehi, masalah kelewatan dalam menyalurkan bantuan dan masalah terputus perhubungan ketika banjir. Manakala bagi keadaan selepas banjir melanda terdapat beberapa masalah seperti masalah mencari dan membina perniagaan baru, mengalami kerugian yang teruk, masalah memerlukan modal yang besar untuk membuka perniagaan semula, masalah proses pembaikan, masalah kewangan lambat diterima dan masalah penyelenggaraan bahagian pentadbiran perniagaan juga akan dianalisa mengikut skala analisa yang ditetapkan. Skala analisa yang digunakan untuk mencapai objektif pertama adalah mengikut skala iaitu tidak setuju (1 markah), kurang setuju (2 markah), tidak pasti (3 markah), setuju (4 markah) dan amat setuju (5 markah). Jadual 1 menunjukkan taburan frekuensi untuk setiap keadaan iaitu ketika dan selepas fenomena banjir yang melanda di Kota Tinggi, Johor.

MENGANALISA IMPAK YANG DIHADAPI OLEH PEMILIK PERNIAGAAN KETIKA FENOMENA BANJIR YANG MELANDA

Kajian penyelidikan yang telah dijalankan menunjukkan peratusan masalah-masalah yang di hadapi oleh pemilik perniagaan yang di ambil daripada 30 set borang kaji selidik yang telah di edarkan. Melalui hasil kajian yang di perolehi menggunakan analisa skala seperti di atas dan jenis-jenis masalah yang di kenalpasti seperti A mewakili masalah kemusnahan barang-barang dan perkhidmatan, B adalah masalah perniagaan lumpuh/tergendala, C adalah masalah pembekalan barang-barang dan perkhidmatan sukar diperolehi, D adalah masalah berlaku kelewatan dalam menyalurkan bantuan ketika banjir dan E adalah masalah terputus perhubungan ketika banjir. Hasil kajian didapati 60% berpendapat amat setuju dengan masalah kemusnahan barang-barang dan perkhidmatan serta masalah terputus perhubungan ketika banjir merupakan masalah paling tertinggi di catatkan yang di hadapi oleh pemilik perniagaan. Ini bermaksud bahawa 20 responden yang amat setuju dengan masalah ini sebagai masalah utama ketika banjir melanda. Manakala peratusan selebihnya iaitu sebanyak 40% setuju bahawa masalah kemusnahan barang-barang dan perkhidmatan serta masalah terputus perhubungan ketika banjir yang disumbangkan oleh 10 responden. Manakala masalah perniagaan lumpuh dan berlaku kelewatan dalam menyalurkan bantuan ketika banjir yang telah menyumbang sebanyak 100% yang berpendapat amat setuju terhadap masalah tersebut. Maksudnya kesemua responden yang telah disoal selidik iaitu sebanyak 30 responden menyokong bahawam ia adalah salah satu impak yang paling ketara dihadapi oleh pemilik perniagaan ketika fenomena banjir melanda. Selain itu masalah pembekalan barang-barang dan perkhidmatan sukar diperolehi menyumbang sebanyak 40% kurang setuju dan 30% tidak pasti merupakan impak banjir yang dihadapi oleh pemilik perniagaan ketika banjir. Disini dapat kita simpulkan bahawa masalah perniagaan lumpuh/tergendala dan berlaku kelewatan dalam menyalurkan bantuan ketika banjir adalah paling tinggi peratusannya yang merupakan impak yang paling ketara yang terpaksa ditanggung oleh pemilik perniagaan ketika banjir melanda di Kota Tinggi, Johor. Masalah ini juga telah menyebabkan premis perniagaan mereka tidak dapat beroperasi sehinggalah keadaan banjir beransur pulih seperti sedia kala. Impak ini telah memberi kesan mendalam terhadap pemilik premis secara khususnya dan pekerja secara amnya.

MENGANALISA IMPAK YANG DIHADAPI OLEH PEMILIK PERNIAGAAN SELEPAS FENOMENA BANJIR YANG MELANDA.

Kajian penyelidikan yang telah dijalankan menunjukkan peratusan masalah yang dihadapi oleh pemilik perniagaan selepas kejadian banjir yang melanda. Hasil dapatan kajian diperolehi daripada 30 set borang kaji selidik yang telah diedarkan dan terdapat beberapa masalah yang tersenarai dalam rajah di atas dan A mewakili masalah mengalami kerugian yang teruk, B adalah masalah menghadapi masalah mencari dan membina perniagaan baru, C adalah masalah memerlukan modal yang besar untuk membuka perniagaan semula, D adalah masalah proses pembaikan untuk memulihkan keadaan banjir adalah mengambil tempoh yang agak lama, E adalah masalah bantuan kewangan lambat diterima dan F adalah wujudkan masalah penyelenggaraan semula bahagian pentadbiran. Melalui hasil penyelidikan ini terdapat beberapa masalah utama iaitu, masalah kerugian yang teruk dan ,masalah memerlukan modal yang besar untuk membuka perniagaan dan masalah bantuan kewangan lambat diterima telah menyumbang sebanyak 100% atau kesemua responden iaitu sebanyak 30 pemilik perniagaan berpendapat amat setuju terhadap masalah tersebut. Masalah-masalah ini merupakan masalah yang paling ketara selepas fenomena banjir melanda. Manakala sebanyak 60% iaitu 20 responden berpendapat setuju bahawa menghadapi masalah mencari dan membina perniagaan baru dan masalah proses pembaikan untuk memulihkan keadaan banjir adalah mengambil tempoh yang agak lama adalah sebagai masalah sederhana yang terpaksa ditanggung oleh mereka selepas fenomen banjir. Peratusan selebihnya iaitu 40% bersamaan 10 responden yang bersetuju terhadap masalah ini. Selain itu bagi masalah penyelenggaraan semula bahagian pentadbiran menyumbang kepada 40% iaitu berpendapat setuju dan 60% adalah berpendapat kurang pasti. Kesimpulannya impak yang paling ketara terpaksa ditanggung oleh pemilik perniagaan adalah masalah kerugian yang teruk, masalah memerlukan modal yang besar untuk membuka perniagaan semula dan masalah bantuan kewangan lambat diterima adalah yang paling tinggi dicatatkan. Masalah-masalah ini telah memberi impak yang negatif kepada premis perniagaan dalam membangunkan semula perniagaan mereka.

Friday, September 28, 2007

Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur atau nama rasminya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merupakan pusat perniagaan, di Malaysia. Kuala Lumpur pernah memainkan peranan sebagai pusat pentadbiran Malaysia. Dengan penubuhan Putrajaya pada akhir 1990-an, pusat pentadbiran telah dipindahkan ke ibu negara baru Malaysia yang terlrtak di Putarajaya . Kuala Lumpur terletak di pertengahan pantai barat Semenanjung Malaysia . Di Malaysia. Wilayah persekutuan merupakan salah satu daripada negeri yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu atau Malaysia. Wilayah Persekutuan ditadbir secara langsung oleh kerajaan persekutuan di bawah bidang kuasa Perdana Menteri melalui Kementerian Wilayah Persekutuan. Selain daripada Kuala Lumpur dan Putrajaya, terdapat satu lagi Wilayah Persekutuan iaitu Wilayah Persekutuan Labuan. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur merupakan sebuah pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab mentadbir seluruh Kuala Lumpur dan sekitarnya.
Kuala Lumpur pada mulanya dimiliki oleh Kerajaan Negeri Selangor, telah diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan pada 1 Februari 1974. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mula membangun dengan begitu pesat sesuai dengan gelaran bandaraya yang diperolehinya pada tahun 1972. Pembangunan Kuala Lumpur boleh dikatakan sebahagian daripada rentetan sejarah lampau Kuala Lumpur setelah ditemui oleh pelombong bijih timah berbangsa Bugis, Raja Abdullah. Hasil perut bumi yang ditemui di Sungai Gombak dan Klang telah mengundang Kapitan Cina, Yap Ah Loy untuk meneroka kekayaan Kuala Lumpur. Aktiviti perlombongan telah menjadi sebab kepada perkembangan pembangunan ekonomi Kuala Lumpur.
Sektor pelombongan telah menyebabkan kemasukan beramai-ramai migrasi pelombong cina dan juga India sebagai pekerja ladang akhirnya mewujudkan 3 bangsa utama di negara ini. Kepelbagaian kaum yang wujud telah mewarnai budaya di Malaysia yang unik dan pelbagai hingga ke hari ini.
Aktiviti perlombongan ini menjadi titik tolak kepada perkembangan pembangunan ekonomi di Kuala Lumpur.Hasil daripada perkembangan ekonomi telah menukar wajah Kuala Lumpur daripada rumah tradisional kepada bangunan moden seperti Stadium Merdeka, Bangunan Sultan Abdul Samad, dan seterusnya kini memiliki Menara Kuala Lumpur dan Menara Petronas yang menjadi mercu tanda Bandaraya Kuala Lumpur.
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terbahagi kepada 11 kawasan Parlimen iaitu kawasan parlimen Kepong, Batu, Wangsa Maju, Segambut, Setiawangsa, Titiwangsa, Bukit Bintang, Lembah Pantai, Seputeh, Cheras dan Bandar Tun Razak.
Kini, Kuala Lumpur telah menjadi salah satu bandaraya yang termaju khususnya di Asia Tenggara yang berkembang dengan pesat dari pelbagai sektor, termasuk sektor ekonomi, sosial dan politik. Kepesatan sektor-sektor inilah yang harus dikekalkan oleh semua rakyat agar pembangunan Kuala Lumpur dapat diteruskan pada masa akan datang.