Sunday, September 23, 2007

Rencana: Lestari bangunkan negara

Oleh ISMAIL HASHIM YAHAYA

dari Utusan Malaysia


PROSES pembangunan yang berlaku di negara ini setelah 50 tahun merdeka memang amat membanggakan. Daripada mata kasar dari segi bangunannya sahaja, kita mempunyai bangunan pencakar langit yang setanding dengan negara-negara Barat.
Lebuh raya-lebuh raya dan sistem pengangkutan walaupun mempunyai beberapa kelemahan namun secara amnya berada dalam keadaan baik.
Ini tidak termasuk segala prasarana yang dibangunkan untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara. Kemajuan perindustrian dan teknologi begitu pesat berlaku hinggakan tidak keterlaluan jika dikatakan Malaysia adalah antara sepuluh negara sedang membangun yang maju dari segi pembangunannya.
Namun kita harus ingat pertumbuhan ekonomi yang begitu pantas di Malaysia ini dijanakan oleh kemewahan sumber semula jadi dan bahan mentah.
Sehubungan itu, harus diperhatikan dengan serius bahawa segala sumber kekayaan semula jadi yang kita ambil atas nama nilai ekonomi negara itu akhirnya akan pupus.
Jika pembangunan berteraskan penerokaan sumber asli masih diamalkan (termasuklah pemotongan hutan demi pembangunan) tanpa memikirkan had dan batasnya, kita akan berhadapan dengan situasi kepupusan sumber asli pada abad ke-21.
Sebab itu kerajaan mewujudkan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk memantau dan mengawasi keadaan alam sekitar dan sumber asli negara.
Namun dalam hal ini kita harus melihat kepada beberapa perkembangan yang berlaku sebelum ini yang ternyata menjejaskan alam sekitar di negara ini.
Pertamanya, corak pembangunan yang meluncur laju pada abad lalu. Walaupun kerajaan telah memberikan amaran supaya mengamalkan bentuk pembangunan mapan tetapi banyak sektor swasta yang ghairah dengan kemajuan dan keuntungan telah mengabaikannya demi pembangunan berterusan.
Kes Highlands Tower masih tidak menjadi pengajaran kepada pembangunan hartanah, perumahan dan bangunan bagi sektor swasta. Mereka masih membina projek-projek perumahan semahu-mahunya di lereng-lereng bukit yang curam tanpa menghiraukan nasihat dan amaran kerajaan.
Jika kegiatan komersial yang tidak prihatin terhadap alam sekitar terus berlaku maka akan terdapat sedikit sumber semula jadi yang hendak diperbaharui.
Jika hutan terus dicerobohi, sungai dan lautan dicemari bayangkan apa akan jadi kepada sumber bernilai kita ini.
Dan keduanya, dari segi pembangunan industri dan perkilangan yang mencemari alam melalui penghasilan bahan cemar dan bertoksik akan menghasilkan output tetap dalam gas rumah hijau, bahan toksik, sisa berbahaya dan bebanan organik ke dalam alam sekitar.
Menjejaskan
Ini menjejaskan keupayaan semula jadi hutan, lautan, tanah dan atmosfera bagi menyerap bahan cemar. Keadaan ini tentunya akan menjejaskan kualiti hidup rakyat Malaysia untuk mendapat udara yang bersih dan segar bagi menyambung proses pembangunan yang begitu pesat berkembang di negara ini.
Apalah ertinya pembangunan pesat yang dicapai rakyat negara ini setelah 50 tahun merdeka jika ditandai dengan keadaan persekitaran yang tidak selamat untuk hidup.
Kita juga tidak mahu kualiti hidup yang buruk menjejaskan kesihatan warganegara dan menjadikannya tidak cergas untuk bekerja.
Kepesatan pembangunan negara harus diimbangi dengan alam sekitar yang sihat supaya rakyat Malaysia dapat hidup sihat dan cergas.
Namun apa yang kita bimbangkan ialah sejak kemerdekaan, transformasi negara kepada ekonomi industri, fenomena pencemaran dan pencemaran sumber telah berlaku ke atas sungai, tanah paya, alam sekitar marin dan pusat-pusat bandar.
Kesan yang memudaratkan itu begitu berleluasa di bukit-bukit, pantai-pantai dan hutan-hutan yang terus merubah kehidupan dan habitat stabil ke dalam ekosistem yang merosakkan.
Penebangan dan kegiatan pembersihan hutan berterusan jika tidak dikawal akan menjejaskan kualiti sungai dan paya malah berupaya untuk mempengaruhi perubahan iklim dan kenaikan keseluruhan dalam suhu yang menimbulkan lebih banyak masalah kepada kehangatan di bandar.
Selain itu kejadian banjir kilat di bandar-bandar besar dan kecil setiap kali hujan lebat dalam jangka masa dua hingga empat jam juga dikaitkan dengan penebangan hutan dan penarahan bukit yang berlebihan.
Selain itu sisa yang tidak dirawat dan amalan pembuangan sisa toksik secara haram juga menyumbang kepada masalah di tempat kerja di bandar dan luar bandar dan membawa kepada tercetusnya penyakit, keracunan dan kesan-kesan lain yang tidak menyihatkan.
Mengekalkan kadar pertumbuhan tinggi yang tidak mesra alam atau tidak menjaga keseimbangan dan kepentingan alam sekitar tidak membawa kepada suatu bentuk pembangunan mapan.
Kemerosotan alam sekitar dapat dilihat dalam lingkungan fizikal dan sosial. Ciri-ciri ekosistem tidak sihat yang disebutkan sebelum ini dengan mudahnya dapat dikaitkan kepada salah pengurusan dalam sumber aslinya.
Kemerosotan ini menjadi lebih bermasalah lagi apabila pertimbangan ekologi tidak menjadi sebahagian daripada proses perancangan sehinggakan kesan buruknya dapat mengetepikan saja perolehan yang diperoleh daripada kemanfaatan pertumbuhan.
Setelah 50 tahun Malaysia merdeka, keprihatinan alam sekitar tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang terpisah daripada wawasan pembangunan negara.
Keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap keprihatinan alam sekitar amat sesuai dengan sambutan 50 tahun kemerdekaan negara. Kita tidak mahu tinggal dalam sebuah negara yang teruk dicemari oleh pencemaran udara, sungai, laut dan bunyi.
Projek menanam pokok yang diamalkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang baru-baru ini adalah amat digalakkan.
Kita tidak mahu hutan, payabakau dan bukit kita digondol dan dimusnahkan oleh pembangunan yang memusuhi alam sekitar. Warga Malaysia juga tidak mahu setelah 50 tahun merdeka mereka hidup dalam sebuah persekitaran yang mempunyai kualiti hidup yang buruk.
Dalam segala penggubalan dasar dan membuat keputusan kerajaan memerlukan konsep pembangunan mapan dalam pencapaiannya. Tanpa menggabungkan kesan alam sekitar, pembangunan ekonomi akan mengalami kehausan dalam asas sumber aslinya.
Oleh itu setiap dasar, pelan dan undang-undang yang baik tidak harus berada di atas kertas sahaja kerana ia juga perlu dikuatkuasakan.

Ulasan rencana akhbar

Rencana menerangkan tentang proses pembangunan yang berlaku di Malaysia pada masa kini dan kesan terhadap kemajuan negara serta alam sekitar. Namun dalam hal ini kita harus melihat kepada beberapa perkembangan yang berlaku sebelum ini yang ternyata menjejaskan alam sekitar di negara ini.
Pertamanya, corak pembangunan yang meluncur laju pada abad lalu. Walaupun kerajaan telah memberikan amaran supaya mengamalkan bentuk pembangunan mapan tetapi banyak sektor swasta yang ghairah dengan kemajuan dan keuntungan telah mengabaikannya demi pembangunan berterusan. Contoh kes Highlands Tower masih tidak menjadi pengajaran kepada pembangunan hartanah, perumahan dan bangunan bagi sektor swasta. Mereka masih membina projek-projek perumahan semahu-mahunya di lereng-lereng bukit yang curam tanpa menghiraukan nasihat dan amaran kerajaan.
Dan keduanya, dari segi pembangunan industri dan perkilangan yang mencemari alam melalui penghasilan bahan cemar dan bertoksik akan menghasilkan output tetap dalam gas rumah hijau, bahan toksik, sisa berbahaya dan bebanan organik ke dalam alam sekitar.
Ini akan menjejaskan keupayaan semula jadi hutan, lautan, tanah dan atmosfera bagi menyerap bahan cemar. Keadaan ini tentunya akan menjejaskan kualiti hidup rakyat Malaysia untuk mendapat udara yang bersih dan segar bagi menyambung proses pembangunan yang begitu pesat berkembang di negara ini.
Kualiti hidup yang buruk menjejaskan kesihatan warganegara dan menjadikannya tidak cergas untuk bekerja.Kepesatan pembangunan negara harus diimbangi dengan alam sekitar yang sihat supaya rakyat Malaysia dapat hidup sihat dan cergas.
Namun kini, transformasi negara kepada ekonomi industri, fenomena pencemaran dan pencemaran sumber telah berlaku ke atas sungai, tanah paya, alam sekitar marin dan pusat-pusat bandar. Kesan yang memudaratkan itu begitu berleluasa di bukit-bukit, pantai-pantai dan hutan-hutan yang terus merubah kehidupan dan habitat stabil ke dalam ekosistem yang merosakkan. Penebangan dan kegiatan pembersihan hutan berterusan jika tidak dikawal akan menjejaskan kualiti sungai dan paya malah berupaya untuk mempengaruhi perubahan iklim dan kenaikan keseluruhan dalam suhu yang menimbulkan lebih banyak masalah kepada kehangatan di bandar.
Selain itu kejadian banjir kilat di bandar-bandar besar dan kecil setiap kali hujan lebat dalam jangka masa dua hingga empat jam juga dikaitkan dengan penebangan hutan dan penarahan bukit yang berlebihan.
Dengan ini, pembangunan lestari perlu dijalankan dalam membangunkan negara agar kemajuan negara dapat diseimbangkan dengan alam sekitar.

No comments: